Friday 24 October 2008

POYO....Macam Bagus!!

Perasan, bangga diri, cakap tak serupa bikin, cakap besar, belagak, dan banyak lagi maksud yang mungkin dikaitkan dengan “poyo” nie…




Perkataan poyo sebenarnya sangat popular di kalangan remaja masa kini tanpa mengira keturunan, terutama bagi remaja kaum Melayu sebahagian besar kalau pun bukan semua mungkin pernah mengungkapkan perkataan poyo ini. Walaupun perkataan ini tidak didaftar secara rasami atau terkandung di dalam mana-mana kamus, namun ia sering digunakan masyarakat umum. Asal-usul perkataan ini tidak dapat dipastikan, tetapi apa yang pasti ia juga sangat popular dikalangan para pelajar sekolah mahu pun penuntut IPT. Antara maksud yang boleh ditafsir adalah seperti, menunjuk pandai, menunjuk-nunjuk, perasan, bangga diri, cakap tak serupa bikin, cakap besar, belagak dan macam bagus.



Isu berkaitan “poyo” yang ingin dibincang dalam penulisan ini adalah berkenaan sikap atau pemikiran poyo dan pencapaian siswa / siswi IPT. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, sikap poyo ini dikaitkan dengan golongan remaja yang turut termasuk adalah komposis pelajar IPT. Walaupun bukan semua remaja termasuk dalam kelompok poyo ini, namun pemikiran ini memberi kesan langsung kepada mereka terutama dikalangan rakan sebaya mereka. Ada yang berpendapat budaya poyo ini merupakan penyebab utama mengapa para pelajar IPT, khususnya yang senior menjadi pasif di dalam kelas. Mereka jarang menanya soalan dan tidak mahu menjawab soalan yang dikemukan semasa waktu kuliah.

Mahasiswa zaman ini sering melabel rakan mereka sebagi poyo apabila rakan mereka yang agak aktif semasa kuliah menunjukkan minat dan bertanyakan kemusykilan kepada pensyarah. Ketika pensyarah menyampaikan kuliah, jarang terdapat pelajar yang tampil untuk mengajukan soalan-soalan bernas ataupun pandangan kritis. Apa yang sering berlaku adalah, setelah pensyarah menamatkan kelas pelajar yang mempunyai persoalan akan berkejar meluru ke hadapan depan kuliah untuk bertemu dengan pensyarah secara berdepan bertanyakan soalan atau pergi ke bilik pensyarah untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Walaupun keadaan ini merupakan sesuatu yang harus dipuji namun situasi sebenar yang berlaku adalah pembaziran masa oleh kerana sesi kuliah tidak digunakan sebaik mungkin. Kerisauan takut rakan lain akan melabelkan mereka sebagai poyo, sebab bertanyakan soalan, menyebabkan pelajar yang aktif tersebut berubah menjadi pasif semasa di dalam kelas.

Keperluan untuk menanyakan soalan bernas serta berkongsi pandangan kritis sewaktu sesi kuliah seakan-akan taboo dikalangan para pelajar. Sekiranya ada pelajar yang tampil mengemukakan pandangan atau bertanyakan soalan-soalan yang berbentuk ilmiah, maka pelajar tersebut dilihat sebagai poyo. Ini kerana dia menanyakan soalan atau permasalahan yang bernas yang pelajar lain mungkin tidak terfikir atau merasakan tidak penting. Keadaan ini juga mungkin disebabkan, mereka beranggapan mereka mempunyai jawapan kepada soalan-soalan seperti itu atau jawapan kepada permasalah tersebut boleh dicari dan dibaca dari buku atau bahan rujukan lain.

Dari sudut sosial, apabila seseorang pelajar dilabel sebagai poyo maka dia kemungkinan besar akan dijauhi atau tiada hubungan rapat dengan pelajar lain. Bagi mereka “budak poyo” sebegini hanya menyesakkan dan berlagak dengan pengetahuan atau pencapaian dimiliki. Pelajar yang kononnya poyo ini tidak akan mempunyai ramai kawan. Manakala yang sudi berkawan pula turut dicop sebagai poyo dan tergolong dalam golongan poyo.

Walaupun tiada sebarang kajian empirik atau survey dilakukan bagi memahami lebih lanjut berkenaan isu ini namun kenyataannya, situasi ini merupakan suatu pengaruh sistem di sekeliling mereka yang membentuk kepada konflik akademik ini. Tiada sebarang laporan dibuat kerana permasalahan ini bukan sesuatu yang berat yang boleh dihukum menerusi peraturan atau dikenakan tindakan seperti terkandung dalam undang-undang tubuh institusi terbabit. Oleh yang demikian, keadaan ini tidak pernah diambil berat dan umum sekadar menerima label sebagai poyo tersebut.

Masalah yang akan timbul adalah jelas. Pelajar yang kritis tidak dapat menyampaikan buah fikiran, ilmu sukar bercambah dan dalam jangka masa panjang, mungkin akan meruntuhkan tamadun sesebuah masyarakat. Ini semua mungkin berlaku apabila individu dalam sesebuah masyarakat itu segan atau takut untuk menyuarakan pendapat dan bertanya soalan sedangkan buah fikiran yang ada mungkin adalah sesuatu yang bernas. Kemungkinan pandangan dan idea yang lahir di dalam minda mereka merupakan penyelesaian terbaik kepada sesuatu permasalahan. Mungkin sekiranya cadangan mereka digunapakai maka mampu menyelematkan keadaan atau memberi pulangan lumayan.

Walaupun begitu, berdasarkan pemerhatian dan pandangan saya, budaya Poyo ini wujud hanya di dalam dewan kuliah yang besar sahaja, tidak berlaku dalam bilik-bilik tutorial atau perbincangan yang kecil. Dan berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sendiri, rasa takut untuk bertanya dan menyatakan pendapat ini timbul dengan kuatnya sekiranya dalam sesuatu majlis itu terdapat orang yang dikenali. Sekiranya dalam sesebuah dewan kuliah itu, setiap individu tidak kenal antara satu sama lain, kemungkinan mereka tidaklah sepasif seperti yang berlaku di dewan-dewan kuliah. Memandangkan golongan cendikiawan yang ada sekarang ini mendapat pendidikan dalam suasana yang tidak kenal apa itu Poyo, maka soalannya ialah, apakah cendikiawan yang akan wujud akan datang yang lahirnya dari generasi yang mempunyai budaya Poyo?